Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Monday 24 November 2008

Remaja


Assalamualaikum wbt

Remaja..ingatlah masa depanmu
Janganlah kau terleka di usia remaja
Kenanglah jasa ibu dan ayahmu
Susah payah mereka membesarkan kita..

Demikianlah serangkap lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan UNIC bertajuk remaja. Walaupun bersahaja, tetapi mesej yang disampaikan cukup jelas. Mengingatkan kita yang berada diambang remaja ini supaya tidak terleka dengan pelbagai anasir-anasir luar yang begitu membimbangkan pada waktu ini.

Sepanjang saya diberi pinjam nafas oleh Allah swt selama 20 tahun ini, saya telah menemui pelbagai masalah dikalangan remaja khususnya dikalangan kawan-kawan saya. Ada yang mengadu mengalami masalah dalam percintaan, ‘terhanyut’ dalam percintaan, ditambah dengan masalah penceraian ibu bapa. Semuanya terlalu berat untuk dihadapi dan dilalui. Dan pastinya Allah jadikan sesuatu itu mempunyai tujuannya tersendiri dan hikmahnya akan terlihat pada suatu hari nanti.

Allah jadikan setiap masalah semestinya untuk menguji keimanan kita. Terpulang pada kita sebagai hamba untuk memilih jalan yang Allah tetapkan ataupun mengikut hawa nafsu sendiri dalam menjalani kehidupan seharian. Sahabat-sahabat saya yang dikasihi, marilah kita membuka hati seluas-luasnya untuk kembali kepada Allah. Setiap masalah, dugaan mahupun dosa yang kita lakukan,kita kembali kepada Allah. Yakin dengan Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Kembali kepada fitrah. Bagaimana? Semestinya dalam pencarian jalan kembali kepada Allah mestilah berdasarkan sumber yang sahih iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Dalam kitab Hatta Ya’lama Asy-Syabab karangan Abdullah Nasih ‘Ulwan, disebutkan bahawa tujuan kita dihidupkan di muka bumi ini adalah bertujuan merealisasikan perhambaan kepada Allah swt.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56 : “ Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada ku”

Cuba kita muhasabah diri kita. Adakah kehidupan kita sekarang ini merupakan ibadah kepada Allah? Adakah kita menghabiskan waktu kita untuk Allah ataupun dunia semata-mata? Kita sangat sibuk menuntut ilmu sehinggakan lupa untuk menunaikan solat lima waktu. Kita sanggup berhabisan wang untuk melancong ke luar negara setiap tahun sedangkan zakat tidak dibayar. Kita sibuk melengkapkan kelengkapan rumah untuk keselesaan keluarga sedangkan kita lupa untuk melengkapkan kelengapan untuk menempuhi alam kematian nanti.

Wahai sahabat-sahabat saya yang dirahmati Allah sekalian. Usia remaja tidak patut dihabiskan dengan bercinta. Kerana cinta sesama manusia yang tidak berlandaskan syara’ adalah SIA-SIA belaka. Apa yang kita dapat daripada pasangan kita? Kasih sayang? Perhatian? Hadiah? Itu semua palsu belaka. Yakinlah bahawa kasih sayang, perhatian dan ‘hadiah’ daripada Allah itu adalah lebih mulia dan sempurna. Jika masih belum berpunya, usah risau akan jodoh yang Allah tetapkan. Peganglah pada prinsip ‘ Mukmin yang baik adalah untuk mukminah yang baik’.

Usia remaja kita tidak patut dihabiskan dengan menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang sia-sia seperti lepak contohnya. Tahukan kita bahawa TERLALU banyak perkara baik yang boleh dilakukan untuk mengisi masa lapang. Contohnya menziarahi kawan-kawan atas niat untuk mengambil berat. Sentiasa bertanya khabar terhadap saudara-mara untuk mengeratkan tali persaudaraan. Semua ini adalah inisiatif sendiri untuk membentuk sahsiah supaya sentiasa melakukan kebaikan seiring dengan ajaran Islam.

Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, ketahuilah tujuan Allah menghidupkan kita di muka bumi ini bukanlah sia-sia untuk kita mati nanti dalam keadaan sia-sia. Usia remaja amatlah berharga kerana remaja seperti kitalah yang akan mencorak generasi hadapan negara. Jika kita adalah generasi yang rosak, maka rosaklah generasi akan datang. Pentingnya kita berusaha untuk MEMAHAMI ajaran Islam yang sebenar sebagai jambatan untuk BERAMAL dengan ajaran-ajaran Islam. Wallahua'lam.

Thursday 6 November 2008

Islam Pada Dirinya



Kisah ini berlaku pada bulan September lepas di pekan tempat tinggal saya. Saya dapat melihat nilai-nilai Islam dalam diri pak cik berbangsa Cina ini. Pada pagi tersebut, ayah saya telah menghantar saya ke stesen bas Triang. Seterusnya saya akan mengambil bas ke Temerloh dan seterusnya ke Kuala Lumpur. Jam menunjukkan pukul 7.40 pagi. Seorang pak cik berbangsa India di sebelah saya membebel-bebel kerana bas belum kunjung tiba.

Dalam pada itu, datang seorang pak cik berbangsa Cina menaiki motorsikal dan berhenti betul-betul dihadapan pak cik berbangsa India tadi. Mereka pun bersembang mengenai bas ke Temerloh yang langsung tidak menunjukkan tanda untuk sampai. Kemudian dia bertanya ke mana arah saya.

“Lu mau pegi mana?”

“Saya mau pegi Kuala Lumpur

“Oo..Lu mau pegi sana ka?Lu tak tau ada bas express ka?”

“Tak tau”

“Aiyaa..itu bas express terus ke kl la..tiap-tiap hari ada..Dekat balai bomba itu sana..Lu tak tau ka?”

“Tak tau la pakcik..”

“Aiya..mari wa tunjukkan.. Wa boleh angkat lu sama naik belakang motor.. Tapi lu mesti malu punya..”

Sunyi seketika.

“Pakcik jalan slow-slow la..saya ikut belakang ok”

“ok..lu ikut wa pelan-pelan..”

Dia terus menunggang motor perlahan-lahan sambil memerhatikan saya melintas jalan besar. Saya pun terus melangkah secepat mungkin. Sampai la saya tidak dapat melihat kelibatnya lagi. Terdetik dalam hati..”Pak cik ni tipu aku ke?? Habisla..huhu”..Rupanya dia ada dihadapan menunggu aku berjalan menghampirinya. Jam hampir menunjukkan 8.00 pagi. Akhirnya sampailah saya ke stesen bas tersebut.Dia masih menunggu sehingga kaunter tiket dibuka dan menyuruh saya membeli tiket. Dia juga menunggu saya naik ke atas bas dan sehinggalah bas meninggalkan stesen tersebut. Sebelum saya melangkah naik ke atas bas, beberapa orang berbangsa Cina menegurnya.Mungkin bertanyakan siapa saya.. Dan mungkin mereka ingat saya ini anaknya..Almaklumlah, saya ini ‘chinese look’ (hehe..=).

Itulah kisah saya berjumpa dengan pak cik tersebut. Nilai baik yang ditunjukkan membuatkan saya rasa terharu dan memikirkan alangkah indahnya jika pak cik dapat mengenali Islam.. Semoga Allah beri hidayah pada pak cik..Terima kasih pakcik!