Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday 29 December 2010

2010 Bakal Melangkah~

Doa akhir tahun


Doa awal tahun


Bismillah walhamdulillah.

Syukur kehadrat Allah kerana masih diberi dua nikmat yang utama iaitu Iman dan Islam. Hari ini 23 Muharam 1431 bersamaaan 29 Disember 2010. Saya mengambil keputusan untuk 'up date' jua blog ini.

Blog ini sudah seperti 'hidup segan,mati tak mahu'.

Bukan tiada idea yang ingin dicurahkan, tetapi ada sahaja penyebab yang membantutkan saya untuk menulis. Bukan tiada kesempatan. Walhal, tahun ini kelas saya hanya 2 hingga 3 jam sahaja setiap hari. Terlalu banyak waktu kosong.

Benarlah, waktu itu seperti pedang. Ia akan mengatasi kita jika kita tidak mengatasi ia!!

Puas saya muhasabah kembali mengapa saya 'malas' untuk menulis. Antaranya tiadanya keyakinan pada diri. Saya terlalu memikirkan 'apa orang akan kata'. Terlalu fikir. Setiap idea yang ingin dilontarkan, mesti saya pendam dahulu. Memikirkan apa yang orang lain akan kata. Pendek kata, takut risiko. Walhal, saya tahu, apa tujuan saya ada blog ini.

(Oh Husna..kamu dah 22 tahun. cuba jadi berani sikit,tapi bertempat lah)

Bulat tekadku.

Pada waktu akan datang, setiap artikel adalah semuanya dari buah fikiran saya. Bukan 'copy paste' semata-mata. Setiap bulan sekurang-kurangnya 2 artikel. Maksima 4.

Blog ini akan menjadi medan untuk saya curahkan pemikiran dan idea. Maka, secara automatik, sikap saya juga akan dikenali. Biarlah, asalkan ada manfaat. Ambillah yang baik, tinggalkan yang tidak baik itu. Saya juga manusia biasa. Bukan Malaikat!

Saya menerima cabaran. Dan cuba untuk menjadi 'outspoken person'. Muslimah lesu pada hari ini kerana terlalu membisu dalam setiap perkara. Jadi, dimana posisi kita?


2010~

Terlalu banyak kenangan sepanjang tahun ini. Menjadi pelajar tahun 3 Perubatan bagi saya amat mencabar. Saya gagal dalam pengurusan masa. Gagal membahagikan waktu antara tanggungjawab dan bukan tanggungjawab. Itulah kelemahan saya. ( Harap mak abah maafkan )

Dan akhirnya, sesi kali ini, saya masih bergelar pelajar tahun 3. Satu subjek sepanjang sesi iaitu Pathology. Membuatkan minat saya terus bertambah untuk lebih memahami Pathology dan cuba untuk membantu sahabat-sahabat lain. 'Ala kulli haal, saya yakin. Allah jadikan sesuatu itu, adalah terbaik untuk saya dan tidak sia-sia. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Tahun ini juga, kenangan dapat mengembara sangat berharga saya kira. Bermula dengan Umrah. Siapa sangka, pada umur yang muda (bagi saya), Allah memberi peluang yang amat-amat bernilai. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Rasa nak pergi lagi untuk Haji pula. Tetapi..biasalah. Agak sukar.

Kehadiran keluarga juga sangat menggembirakan hati. Siapa sangka keputusan untuk tidak pulang ke Malaysia tahun ini memberikan peluang untuk mereka menjejakkan kaki di Ardhil Kinanah ini. Puas kami mengembara. Dalam Mesir dan Syria. Sehingga ke Lubnan dan Turki. (Oh Tuhan..terlalu banyak nikmat yang Kau berikan. Jadikan kami golongan yang bersyukur)


Sahabat~

Pulang sahaja dari Syria, saya meneruskan perjuangan dalam persatuan yang dicintai ini. PERUBATAN Cawangan Tanta (PCT). Berpersatuan bukanlah atas dasar ingin mengisi masa semata-mata. Dasar kefahaman itu yang utama. Saya cukup terharu pada ketabahan sahabat saya, Amani. Beliau sangat sibuk. Jarang kami berjumpa..walaupun sebilik. Moga Allah kuatkan Amani dan sahabat-sahabat lain. Moga istiqamah dalam melakukan kebaikan. ( Doaku sentiasa mengiringimu..)

Akhir kata, sama-sama kita muhasabah kembali diri kita. Setiap apa yang kita lakukan, semuanya akan dipersoal kembali. Kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi apa yang salah, kita tidak menyesali dan cuba baiki kesilapan yang kita buat.

Jadilah insan yang kuat jiwanya dan jelas fikrahnya!!



Friday 24 December 2010

Carilah Jalan Kembali


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." - Al-Maidah: Ayat 35

Jasad kita berasal daripada tanah. Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan.

Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah.

Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.

Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.

Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.

Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan.

Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.

Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan.

Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar.

Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material.

Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai.

Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.

Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.

Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah.

Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah.

Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.

Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.

Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.

"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54

Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya.

Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.

Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita.

Maka kita tak jadi kembali.

Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.

Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53

Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?

Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu? Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.

Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.

Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.


sumber : IluvIslam.com