Bismillah Walhamdulillah.
Entah di mana dan ke mana mood menulis saya menghilang sejak sekian lama. Terlalu banyak isu dalam kepala sebenarnya, namun tidak dapat diluahkan. Disorganized. Scattered. Namun, setiap manusia ada caranya yang tersendiri bagaimana dan di mana setiap fikiran dan perasaan itu diluahkan.
Akhir-akhir ini, saya dapat belajar sesuatu yang baru.
Tentang tabiat manusia.
Fitrahnya, kita suka untuk DIFAHAMI dan selalu diberi perhatian. Ibarat anak kecil. Jika si ibu buat dek sahaja, anak itu akan buat sesuatu agar si ibu memberi perhatian kepadanya. Begitu juga sebenarnya pada kita yang semakin dewasa ini. Namun caranya sahaja yang berlainan.
Kita suka jika kita sering diberi perhatian.
Kita suka jika kita sering dilayan, ditanya khabar selalu, ditanya tentang apa jua berkaitan keadaan diri dan sebagainya. Itu fitrah.
Namun, apa yang saya ingin kongsikan ialah bagaimana pula sikap kita yang tidak mahu untuk MEMAHAMI sahabat lain?
Kita tidak selesa untuk meluangkan masa untuk sama-sama memahami sahabat kita kerana takutkan masa yang tidak mencukupi. Mungkin keadaan tersebut akan mengurangkan waktunya untuk menuntut ilmu..Mungkin juga keadaan tersebut akan memeningkan kepala sendiri!
Proses memahami seorang sahabat biasanya memakan masa yang panjang. Bukanlah sebulan dua. Bahkan bertahun lamanya.. Bermula pada saat pertemuan sehinggalah mata tertutup apabila ajal menjemput. Kita masih dalam proses memahami sahabat tersebut.
Dalam martabat ukhuwah, paling kurang sikap kita pada sahabat yang lain adalah berlapang dada dan boleh juga diertikan berbaik sangka. Bukankah indah apa yang Islam ajarkan?
Seringkali kita bersangka buruk sekiranya sahabat kita bersikap dingin ataupun lain daripada yang biasa. Pelbagai persoalan dan pertanyaan yang tiada jawapan seringkali hadir berlegar-legar dalam kepala.
Disinilah pentingnya untuk kita menjadi pemerhati yang baik. Perhatikan keadaannya dan keadaan sekelilingnya. Boleh jadi penyebab kepada berlakunya perubahan tersebut adalah disebabkan faktor luaran. Boleh jadi juga perubahan sikapnya berpunca daripada faktor dalaman.
Usah takut untuk meluangkan masa untuk sahabat kita kerana Allah akan mengantikan waktu yang diluangkan tersebut dengan waktu yang lebih baik.
Bertindaklah untuk memahami sahabat kita itu dengan jalan yang paling berhikmah.
Teringat kata-kata seorang sahabat saya. Hikmah itu bukanlah bermaksud lembut. Hikmah itu adalah cara yang paling sesuai mengikut keadaan. Jika keras itu perlu, maka cara keraslah digunakan. Jika lembut itu perlu, maka lembutlah yang diperlukan. Dan bersederhana itu adalah yang terbaik.
Fahamilah sahabatmu tanpa syarat.
Dalam proses memahami, kadang kala kita akan terguris dengan sikapnya mahupun kata-katanya. Kadang kala juga perasaan itu membuatkan proses untuk memahami sahabat kita terbantut begitu sahaja. Disitulah berlakunya pertembungan pada niat yang ada. Ikhlaskah kita dalam pekerjaan kita? Dimana keikhlasan yang telah kita pasakkan pada awalnya?
Apa jua cara dan usaha kita, jika kita ikhlas, yakinlah akan jalan dan penyelesaian di akhirnya.
Letakkanlah ikhlas kerana Allah dalam cuba memahami sahabat kita.
Wallahu'alam