Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Monday 18 March 2013

Tips Dalam Hubungan





Bismillah Walhamdulillah

Dalam meniti kehidupan seharian, kita tidak lepas daripada berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain. Bermula daripada insan yang paling kita percaya seperti pasangan dan ibu bapa, sahabat, kawan sekelas sehinggalah kepada pekerja kantin sekalipun. 

Membina hubungan bukanlah perkara mudah kerana ianya adalah subjek yang tidak diajar dalam kelas mahupun kuliah. Ia adalah ilmu yang hadir tanpa kita cari namun kerana sikap kita yang mengambil mudah dalam penjagaan hubungan, ianya sering membuat kita kecewa dan pasti mengganggu perjalanan kehidupan seharian hidup kita.

Saya bukanlah insan yang terbaik untuk mengulas atau memberi nasihat dalam bab membina perhubungan ini. Namun, atas sedikit pengalaman yang Allah kurniakan sepanjang usia 25 tahun ini, saya ingin kongsikan beberapa tips dalam menjaga hubungan sesama kita. Sama ada dengan pasangan, sahabat mahupun ibu bapa sendiri.


(Mereka = Pasangan suami/isteri, ibu bapa, saudara,sahabat, kawan & sebagainya) 


Niat

Apakah tujuan sebenar kita dalam membina hubungan? Apakah yang kita cari dalam hubungan? Ingatlah bahawa, niat yang kita pasakkan pada awalnya sesungguhnya akan terzahir jua walau cepat mahupun lambat. Ada yang bersahabat disebabkan ingin mengisi masa lapang. Ada yang membantu ibu bapa kerana inginkan pertolongan. Bahkan ada yang bernikah semata-mata kerana inginkan pasangan yang handsome atau comel!  

Inilah titik yang paling penting untuk kita bermuhasabah. Hubungan yang berkekalan sebenarnya adalah hubungan yang dibina kerana Allah. Bersahabat kerana Allah. Menyayangi ibu bapa dan pasangan kerana Allah. Juga berbuat baik pada tukang sapu sampah jua adalah kerana Allah. Bukankah Allah menyuruh kita sentiasa berbuat kebaikan? Jom kita muhasabah niat kita. Masih ada masa untuk kita perbetulkan.


Tidak mengharap balasan

Tidak dinafikan kita sebagai manusia biasa, sentiasa mengharapkan kasih sayang, tumpuan dan juga perhatian daripada orang lain. Anak-anak sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada ibu bapa. Begitu juga dengan suami isteri. Sahabat pula sentiasa perlukan sahabatnya dalam apa jua keadaan. Begitulah hakikat kita manusia. Namun, yang membezakan manusia biasa dengan manusia luar biasa adalah peranannya dalam hubungan tersebut sama ada lebih banyak memberi atau lebih banyak menerima. 

Hukum alam itu mudah. What you give, you get back. Lebih banyak kita memberi, banyak jualah yang akan kita perolehi. Namun mesti diingat juga, memberi bukanlah kerana inginkan balasan. Kita memberi kerana ia adalah suruhan daripada Allah Taala dan sebarang ganjaran hanya kita harapkan pada Allah sahaja. 

  
Proaktif

Orang yang berjaya adalah orang yang proaktif. Setuju? Proaktif dalam hubungan adalah sentiasa peka dan cepat membuat sebarang tindakan baik  terhadap apa-apa yang berlaku dalam hubungan. Sikap proaktif akan menjadikan hubungan tidak hambar dan sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara baru. Contohnya, setelah lama tidak berhubung dengan ibu, apa kata kita menghubunginya dan mengucapkan rindu padanya. Bagi sesetengah orang, mengucapkan rindu pada ibunya sendiri adalah luar biasa. Bukankah itu perkara baru yang positif? 

Mulakan perkara kebaikan dengan diri sendiri dahulu. Usahlah menunggu orang lain memulakannya. Sebenarnya, jika manusia dikelilingi dengan kebaikan setiap hari, perkara tersebut akan lebih mudah untuk diserap berbanding dengan bebelan mahupun teguran yang keras. Bukankah Nabi kita menyeru agar kita berakhlak baik? Qudwah yang baik akan memberi kesan pada orang-orang disekeliling kita.

Bersambung..