Bismillah Walhamdulillah
Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kerana saya telah tamat menghadapi peperiksaan (dan result sebenarnya masih belum keluar).
Tatkala entri ini ditulis, saya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain. Transit selama 8 jam untuk meneruskan penerbangan pulang ke Malaysia. Masih berbaki 30 minit sebelum check in dan harapnya laptop mampu bertahan untuk saya nukilkan idea disini.
Pelbagai keadaan penumpang yang transit disini. Ada yang tidur di atas lantai. Ada yang anak kecilnya menangis dan meraung. Ada yang kelihatannya begitu fokus dengan laptop lantaran free wifi disini (sayalah tu).
Kepelbagaian ragam penumpang disini, mengingatkan saya akan perihal hidup kita sendiri. Dunia hanyalah tempat transit sebelum kita menuju ke negeri kekal abadi nanti. Di dunia, manusia dihidupkan dengan pelbagai watak dan gaya. Semuanya harus kita fikir dan renungkan sedalamnya mengenai hikmah pada setiap watak yang Allah jadikan.
Ada yang kaya.
Ada yang kemas.
Ada yang sihat.
Ada yang kerdil.
Tidak lupa juga, sememangnya ada yang miskin, kurang bergaya, kurang sihat dan terlebih saiz badannya.
Pelbagai gaya dan watak bukan?
Transit di dunia ini sebenarnya mengajar kita untuk membuat pilihan. Saya teringat kata-kata daripada seorang sahabat saya mengenai pilihan dalam hidup ini. Katanya :
"Actually we have no choice even many choices had been given"
Kita diberi pilihan untuk beramal dengan kebaikan lantaran dengan ilmu yang diperoleh ataupun beramal dengan kejahatan lantaran nafsu yang menjadi tukang pandu.
Itulah yang dikatakan kita tidak mempunyai pilihan. Antara pilihan buruk dan baik, semestinya baik yang mesti dipilih. Antara syurga dan neraka, semestinya syurga yang menjadi pilihan.
Semoga dunia ini hanyalah medan transit kita. Bukan tujuan hidup kita. Tempat transit inilah medan untuk kita beramal sebanyak-banyaknya..
Wallahualam
@Bahrain IA