Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Friday, 25 May 2012

Tokoh Ulama Islam : Syeikh Said Hawwa

Bismillah Walhamdulillah

Setiap orang daripada kita pasti ada tokoh yang dikagumi. Dan sebagai umat Islam, tokoh kita yang hebat lagi sempurna pastinya junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. 

Pada hari Jumaat yang mulia ini, saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian agar kita perbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Mudah-mudahan dengan sedikit amalan ini, kita akan tergolong dalam golongan yang diberikan syafaat pada hari yang tiada pertolongan melainkan pertolongan daripada Allah dan syafaat daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Hari ini, saya berpeluang untuk mengenali serba sedikit mengenai tokoh ulama Islam yang disegani lagi dihormati ini. Beliau adalah Syeikh Said Hawwa. Siapakah ulama yang hebat ini? Jika dulu, saya sering mendengar nama beliau meniti di bibir penceramah dalam majlis-majlis ilmu dan usrah. Alhamdulillah hari ini hati ini telah diberikan hidayah untuk mencari dan lebih mengenali siapakah Syeikh Said Hawaa.


Kredit : Akh Ibn Suhaimi (http://sirrulasraru.blogspot.com)







Muqaddimah.


Said Hawwa dilahirkan di Hamah Syria tahun 1935. Nama sebenarnya ialah Said Hawa bin Muhammad Dib Hawwa. 

Beliau berusia 2 tahun ketika ibunya meninggal dunia. Beliau berpindah ke rumah neneknya di bawah asuhan sang ayah, seorang pejuang Islam yang berjihad melawan Perancis. Pada masa mudanya berkembang pemikiran sosialis, nasional, ba’ats dan Ikhwanul Muslimin. Allah memberikan kebaikan untuknya dengan bergabung ke dalam Jama’ah Ikhwanul Muslimin, tahun 1952, saat beliau masih pelajar SMU.

Said Hawa berguru pada beberapa Syeikh Syria. Di antaranya iaitu Syeikh dan Ulama' di Hamah, Syeikh Muhammad Al-Hamid, Syeikh Muhammad Al-Hasyimi, Syeikh Abdul Wahab Dabas, Syeikh Abdul Karim Arrifa’i, Syeikh Ahmad Al-Murad dan Syeikh Muhammad Ali Murad. Said Hawa juga belajar pada Ulama' lainnya seperti Musthafa As-Siba’i, Musthafa Az-Zarga, Fauzi Faidhullah dan lain2.

Tahun 1961, beliau lulus dari Universiti Syria dan mengikuti latihan ketenteraan sebagai askar pada tahun 1963. Beliau bernikah tahun 1964 dan dikurniakan empat orang anak. Tiga lelaki dan seorang perempuan.

Dakwah tanpa jemu.

Kehidupan jadual seharian dipenuhinya dengan memberi kuliah, khutbah dan ceramah, di sekitar Jazirah Syria, Arab Saudi, Kuwait, Emirat, Iraq, Jordan, Mesir, Qatar, Palestin, Amerika dan Jerman. 

Beliau juga mengikuti demonstrasi menentang Undang-Undang Syiria pada tahun 1973. Kemudian beliau dimasukkan penjara selama 5 tahun. Di penjara beliau menulis Kitab Tafsir Al-Asas Fit Tafsir (dua belas jilid) dan sejumlah kitab dakwah lain. Beliau memimpin di Jama’ah Al-Ikhwanul Muslimin, dalam negaranya dan antarabangsa. Serta berperanan aktif dalam aktiviti dakwah, politik dan jihad.

Said Hawwa punya kedudukan besar dalam bidang pendidikan. Beliau bekerja sebagai pengajar diluar Syiria. Beliau mengajar di Arab Saudi selama 5 tahun, di Al-Hufuf wilayah Al-Ihsa' selama 2 tahun, dan Madinah Al-Munawwarah selama tiga tahun.

Penyampaian Ilmunya yang meluas.

Said Hawwa memenuhi jadual padatnya dalam erti memberi ilmu dan pelajaran, dialog dan ceramah di Jami’iyah Al-Ishlah Al-Ijtimia’i di Kuwait dan Madrasah An-Najah. Setiap kuliyyah dan ceramahnya mendapat sambutan baik dari generasi muda yang mahu melihat kebangkitan Islam.

Karya yang amat bernilai buat Ummat.

Said Hawwa memiliki karya tulis seputar dakwah dan gerakan, yang diminati para pemuda muslim dinegeri2 arab dan Islam. Sebagian besar karya tulisnya diterjemahkan ke bahasa lain. Di antara karangannya yang telah diterbitkan sebagai berikut:

1. Allah Jalla Jalaluhu

2. Ar-Rasul Sollallahu Alaihi Wassalam
3. Al-Islam
4. Al-Asas Fit Tafsir(Dikarang di dalam Penjara)
5. Tarbiyatuna Ar-ruhhiyah
6. Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan
7. Muzakirat fi manazil as-siddiqin wa rabbaniyyin
8. Al-Asas fi Sunnah[Akidah-Sirah-Ibadah]

Pulang ke Rahmatullah.

Pada Tahun 1987, Said Hawwa terkena stroke, sehingga sebahagian anggota badannya lumpuh. Beliau turut mengalami komplikasi pelbagai penyakit yang lain. Ini memaksa dirinya untuk rehat seketika dari Masyarakat. 

Pada tanggal 14 Disember 1988 Said Hawwa dibawa ke hospital dalam kondisinya tidak menunjukkan boleh pulih dan sihat, sehingga beliau akhirnya meninggal dunia pada hari khamis tanggal 9 Mac 1989 di Hospital Amman, Jordan.

Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Said Hawwa Rahimahumullah yang sabar terhadap  penyakit yang dihadapinya, ini kesan penyeksaan dan ujian menyakitkan di penjara selama bertahun-tahun. 


Semoga Allah menjadikan mehnah dan sabarnya dalam perjuangan sebagai pemberat timbangan amal kebaikannya, mengampuninya, menempatkannya bersama para Nabi, Rasul dan Syuhada' dan orang-orang yang soleh, kerana mereka sebaik-baik Hamba Allah di atas muka Bumi ini. Allahumma amiin.



_________________________________________________

Untuk tatapan sahabat lebih-lebih lagi akhawat, jom kita kenali bagaimana kehidupan isteri seorang ulama Islam Syeikh Said Hawaa iaitu Ummu Muhammad. Semoga kisahnya menjadi iktibar dan panduan untuk kita teladani. Sesungguhnya, peranan wanita amat besar dalam usaha mengembangkan dakwah Islam dan pastinya acuan tarbiyah Islam bermula dari dalam rumah tangga.


Kredit : Ukht Ainun Mardhiah Ismail (http://ainunmardhiahismail.blogspot.com/2010/03/cinta-ummu-muhammad-as-syeikh-said.html)



Bagaimanakah Kehidupan Syeikh Said Hawa Secara Terperinci?

Syeikh Rahimahullah amat sibuk dengan urusan dakwah sejak sebelum berkahwin lagi.Oleh itu,selepas berkahwin beliau berusaha meluangkan masanya untuk bersama anak-anaknya dan berbincang dalam pelbagai isu serta mendidik mereka dalam urusan agama dan kemasyarakatan.

Anak-anaknya masih kecil ketika beliau dipenjarakan selama 5 tahun pada 1973 hingga 1978.Lalu saya memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan ketika itu dikurniakan 4 orang anak, 3 lelaki dan seorang perempuan - Muhammad, Ahmad, Mu'az dan Fatimah, alhamdulillah.

Sesungguhnya Allah mengurniakan bantuan kepada saya sehingga mampu memberikan didikan agama buat anak-anak. Justeru, apabila beliau keluar dari penjara maka beliau mendapati anak-anaknya telah membesar di bawah tarbiyah yang baik.

Setiap pagi, beliau akan meluangkan masa bersama anak-anak dan kadangkala sekitar pukul 9 ke 10 malam.Manakala waktu selebihnya adalah untuk urusan dakwah,menulis dan mengarang.Saya akan membantunya dalam beberapa aspek: Jika dia mengarang maka saya akan menaipkan untuknya dan Alhamdulillah kami mampu menghasilkan beberapa kitab.Beliau juga tidak pernah mengabaikan aspek tarbiyah anak-anaknya bahkan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk berkelah dan sepanjang perkelahan tersebut beliau akan mengadakan perbincangan dan sebagainya dengan anak-anak.Kebiasaannya kami berkelah pada hari Khamis manakala hari Jumaat kami akan berada di rumah.

Hakikatnya sesiapa yang mengatur waktunya , pasti dia akan mendapat faedah yang banyak dari aturan tersebut.



Bagaimana Perasaan Ummu Muhammad Ketika Syeikh Rahimahullah Ditangkap dan Dipenjarakan?

Ketika itu,harapan dan pergantungan saya hanyalah pada Allah dan saya tidak sekalipun hilang kawalan diri. Harapan saya agar beliau segera keluar dari penjara dan boleh menyambung semula kerja-kerja dakwah beliau. Saya tetap meneruskan pendidikan terhadap anak-anak sebagaimana biasa dan menggunakan pelbagai wasilah pendidikan seperti kaset-kaset Al-Quran dan kisah-kisah Agama.

Mereka mula menghafaz al-Quran ketika berusia 5 tahun dan kini,tiga daripada mereka telah pun hafiz al-Quran malah mempraktikkan isi kandungannya, alhamdulillah. Selepas 2 bulan beliau keluar dari penjara, adiknya Mahmud, seorang pemuda soleh, melihat beliau di dalam mimpi dibunuh dan mati syahid.



Bagaimanakah Bentuk Kehidupan Ummu Muhammad dan Syeikh Rahimahullah Sebagai Pasangan Suami Isteri?

Kami sama-sama memanfaatkan masa dan menunaikan haknya dan tidak wujud sebarang pembaziran.

Contohnya,jika kamu keletihan,jangan kamu berehat terus,sebaliknya lakukan sesuatu yang menyenangkan dan tidak meletihkan seperti sambil kamu duduk, kamu menulis sesuatu yang berfaedah. Atau letakkan anak kamu di sisi dan kamu ajari mereka sesuatu.Jika dikunjungi tetamu,segerakan penyediaan hidangan mereka. Ataupun jika kamu dikunjungi tetamu secara mengejut, bersedia menyambut mereka. Kesimpulannya, kamu perlu berusaha memanfaatkan waktu.

Kami akan membaca al-Quran selepas solat Subuh dan kemudian meluangkan masa untuk penulisan selama 2 jam tetapi ini kebiasaannya pada waktu cuti. Jika waktu persekolahan, kami akan menulis sekembalinya dari sekolah jika tiada tetamu yang berkunjung. Jika beliau bekerja sendirian, sibuk dengan membaca kitab-kitab lama, saya akan menjalankan kerja-kerja asas rumah dan mengajar anak-anak.Beliau sentiasa meluangkan masa menziarahi kaum kerabatnya pada hari Jumaat. Inilah rutin kami semenjak kami mendirikan rumahtangga.

Pernah sekali saya mimpikan beliau ketika beliau masih dalam bilik kecil dan sempit di dalam penjara. Dalam mimpi itu seolah-olah saya berdiri di hadapan bilik kurungan tersebut dan pintunya terbuka. Saya melihat cahaya memancar dari bilik tersebut dan timbul ketenangan di hati saya bahawa al-Quran yang dihafaznya menjadi pembantunya. Beliau dikurung di situ selama 9 bulan dan selama tempoh itu beliau tekun mengulangkaji al-Quran. Tidak berapa lama selepas itu beliau dikeluarkan ke penjara yang lebih besar yang dihuni oleh orang lain.
Selepas 5 tahun beliau dibebaskan dan ramai yang tidak percayakan peristiwa tersebut melainkan setelah melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka semua meraikan pembebasan Syeikh Rahimahullah di rumah keluarganya.





Bagaimanakah As-Syeikh Mengenali Ummu Muhammad?


Awalnya, saya hanya mengetahuinya ketika di tahun akhir di universiti sedangkan dia ketika itu telah 2 tahun meninggalkan universiti. Saya tidak mengenalinya langsung namun mengetahuinya dari sepupu sebelah ibu saya. Sebelum kami berkahwin, berlaku pelbagai penentangan di Syria, kemudian demonstrasi Hammah, masjid-masjid dibakar dan keadaan ini memaksa beliau berlindung di Iraq selama 2 bulan. Beberapa individu tertentu yang baik hati telah membantunya sehingga diampuni dan dibolehkan memasuki Syria kembali. Sekembalinya dari Iraq, kami terus mendirikan rumahtangga dan menetap di kampungnya, Hammah selama 2 tahun. Kemudian kami ke Saudi selama 5 tahun dan kembali semula ke Syria dan ketika itulah beliau dipenjarakan.

Beliau sering menawarkan saya menemaninya dalam musafir namun saya lebih selesa untuk bersama anak-anak dan meneruskan tanggungjawab saya mendidik mereka. Waktu keluar untuk urusan dakwahnya sering tidak menentu namun saya akan selalu berpesan setiap kali beliau ingin keluar.." ALLAH MA'AK" (ALLAH BERSAMA KAMU) dan apabila tetamu datang , saya akan ucapkan "Ahlan wa sahlan."

Jika dikunjungi keluarganya, saya akan meraikan dan melayan mereka dengan sebaiknya. Antara sikap beliau yang amat saya fahami adalah beliau inginkan agar ibu bapanya dilayan dengan baik. Begitu juga dengan tetamunya. Ibunya masih ada lagi dan kami sering menziarahinya. Bapanya telah pulang ke rahmatullah 4 bulan lebih selepas Syeikh Rahimahullah meninggal.




Apakah Aturan Pendidikan Untuk Anak-anak Ummu Muhammad?

Pertamanya, suruh anak-anak mengerjakan dan menyelesaikan urusan agama bermula dari aspek Tauhid dan Ibadat.

Ajari mereka al-Quran dan mulakan dengan Surah Al-Ikhlas sehingga mereka mampu memahami keesaan Allah. Tekankan tentang aspek ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji. Pada masa yang sama aspek akhlak dan pergaulan dididik dengan sebaiknya kerana semua perkara ini perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil.

Tarbiyah dalam aspek ibadah dan agama bila dipupuk sejak kecil, maka bila mereka mencapai usia mukallaf maka mereka tidak akan rasa susah dan tertekan kerana semua perkara tersebut telah menjadi rutin dan resam kehidupan mereka. Pendidikan agama buat anak-anak akan memberi impak pada sudut Akhlak mereka,oleh itu wajib bagi ibu bapa mendidik mereka atas dasar perintah dan suruhan Allah.

Jika sudut Agama pada anak-anak diabaikan ketika mereka masih kecil, maka proses didikan tersebut akan sukar terutamanya apabila mereka mencapai usia 10 tahun atau lebih,dan masalah ini lebih ketara kepada anak-anak perempuan. Komitmen anak-anak dalam berpakaian,menutup aurat,solat dan puasa akan menjadi sukar ketika itu malah penentangan sering berlaku disebabkan tiadanya latihan di peringkat awal.

Suasana didikan yang saya terima dan ketika bersama Syeikh Rahimahullah adalah sama,sama ada dari segi pakaian, kerja dakwah , penulisan, dan menyambut tetamu. Lantaran semuanya atas dasar dakwah dan Islam. Niat kami sentisa , InsyaAllah adalah kerana Allah dan untuk Islam serta atas dasar menegakkan kalimah Allah Taala.



والله ا علم



Sunday, 6 May 2012

Jom bersyukur..:)

Bismillah Walhamdulillah


Hanya entri ringkas. :)


Pernah tak dalam suatu keadaan, kita rasa ketidakcukupan, ketidakpuasan dan segala-galanya tidak menyebelahi kita?

Sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada 'rasa' itu kerana benarlah firman Allah dalam kitabnya yang membawa maksud hanya sedikit sahaja daripada hambaNya yang bersyukur.

Jadinya, saya menyerulah kepada diri saya dan sahabat-sahabat sekalian, utamakanlah rasa SYUKUR terlebih dahulu dalam apa jua keadaan. Ingatlah bahawa masih terlalu banyak nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tanpa sedar. Bukankah Allah telah berjanji kepada hambaNya dalam surah Ibrahim ayat ke 7 :






Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".




Jom jadi hambanya yang berSYUKUR! :)





Raihan - Syukur