Bismillah Walhamdulillah
Entah mengapa hari ini saya terdetik untuk menulis mengenai emak saya. Tiada perkataan mampu untuk diungkapkan betapa saya amat menyayangi emak saya. Kasih dan sayang yang dicurahkan adalah tanpa syarat. Tanpa sekelumit pintaan balasan..
Begitu besar pengorbanan emak. Bermula dengan susahnya mengandung dan melahirkan, diteruskan dengan mendidik. Semuanya melalui proses yang bukan mudah. Proses yang memakan masa yang lama, menuntut pengorbanan, air mata dan sebagainya..
Dalam kehidupan saya, emak adalah insan yang sangat besar peranannya. Saya mengakui, bila memasuki usia awal 20-an ini saya baru menjadi 'amat rapat' jika dibandingkan dengan dahulu.. Mungkin sewaktu peringkat sekolah, saya lebih suka berkawan.. Namun, usia sekarang ini, saya lebih suka untuk berkongsi segala-galanya dengan emak.
Teringat suatu ketika dahulu, dalam kemelut kewangan, emak menjadi 'superwoman' dalam keluarga. Membantu abah mencari rezeki. Hujung minggu turun ke bendang menanam padi. 4 kerja dalam satu masa.. Saya pada waktu itu berada di sekolah menengah, menjadikan kesusahan keluarga sebagai motivasi. Apa yang saya tahu, saya mesti belajar sungguh-sungguh untuk menggembirakan hati mak dan abah. Alhamdulillah, walaupun keputusan tidak segemilang orang lain, sekurang-kurangnya mak abah mampu tersenyum..
Sehingga kini, emak masih bertungkus lumus membantu orang lain dalam hidupnya. Walaupun emak seorang anak perempuan, tanggungjawab emak kepada keluarganya masih diteruskan.. Saya juga bertuah kerana abah seorang yang sangat memahami. Teringat kenangan pada tahun 2003 dan 2004. Tahun yang paling banyak saya tumpahkan air mata (tahun ni pun apa kurangnya).. Saya marah kepada 'mereka' yang memisahkan kami anak beranak. Saya perlukan emak dikala ingin menghadapi PMR.
Tapi apakan daya, jarak Kedah-Pahang membataskan kami. Hampir setiap minggu abah 'memungut' anak-anak di asrama dan berulang alik Kedah-Pahang. Alah bisa tegal biasa. Perjalanan sejauh 6 hingga 10 jam adalah biasa. Ponteng kelas sehari adalah biasa. Abah menguruskan hidup sendiri tanpa emak sepanjang 6 bulan.. Adik yang kecil diangkut sama ke sekolah lantaran tidak jumpa pengasuh.. Sering kali pulangnya kami bercuti di hujung minggu hanya bertemankan rumah yang perlu dibersihkan..Sungguh, menitis air mata bila teringatkan kembali kenangan mengguris jiwa itu.
Namun, ada hikmahnya. Selepas peristiwa itu, kami sekeluarga dapat bina kembali kebahagiaan. Hinggalah sekarang.. Alhamdulillah. Syukur padamu ya Allah kerana sentiasa membantu keluarga ini..
Setiap keluarga, ada kisahnya yang tersendiri. Ada zaman bahagia, ada zaman duka dan ada zaman tragisnya tersendiri. Namun, semuanya terpulang pada kita untuk menilai dengan mata hati. Ambil yang jernih dan buang yang keruh. Pengalaman yang baik, jadikan ikutan dan yang buruk jadikan sempadan.
Hargailah emak, ummi, ibu, mama, mummy dan seangkatan dengannya selagimana mereka masih ada. Jangan esok bila sudah tiada barulah kita menyesal.. Bukan kah kita bakal menyayangi anak-anak kita suatu hari nanti sebagaimana mereka menyayangi kita?