Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, 30 November 2011

Khas untuk Mak Tersayang~

Ibuku

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya
Namun, terimalah keikhlasanku
Untuk menyayangi
Insan yang mulia ini


************************************************************

Bismillah Walhamdulillah


Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman bersama mak saya. Semoga bermanfaat ^__^

Sejak dua hari kebelakangan ini, saya dilanda sedikit perasaan tidak tentu arah. Serabut. Tertekan. Fikir punya fikir, rupanya hampir seminggu saya tidak bersembang dengan mak. Kalau call rumah pun, hanya bercakap dengan abah. Jadinya, saya pun tanpa berlengah terus call rumah dan minta untuk bercakap dengan mak.

Naluri mak.

Memang hebat!! :)

Selepas bertanya khabar, bertukar cerita dan sebagainya, mak terus tanya.


"Ni call mak ada apa-apa masalah ke?"

Aiyyaa.. tau-tau aje mak ni. Huhu

"Biasalah mak.. hidup mana tak ada masalah." Balas saya. Mak gelak. Mak terus teka masalah saya.

Betul. Sangat tepat tekaan mak. Hebat bukan? ^__-

Saya pun apa lagi. Belum mula cerita dah sebak. Berjurai air mata cerita masalah. Alahai..anak mak katakan. Tak puas lagi bermanja T__T

Banyak nasihat mak sampaikan. Mak selalu berseloroh macam ni :

"Mak tak pandai nak nasihat lebih-lebih.. mak bukan masuk universiti macam anak-anak mak"

Mak oh mak.. rasanya orang sekarang masuk universiti lah tak pandai nak bagi nasihat. Hanya cerdik akademik, tapi sangat kurang pedoman hidup. Hilang arah.

Mak, mak sangat hebat.

"Kuatkan lah diri hadapi masalah. Sebelum ni kan anak mak kuat."

"Tak kuat pun.. Anak mak ni tak kuat macam mak.."

"Kekuatan tu bukan lahir sedia ada pada setiap orang. Kekuatan tu akan lahir bila kita banyak hadapi masalah dan cabaran.."

Di akhir perbualan, mak sampaikan satu nasihat yang saya akan ingat sampai bila-bila InsyaAllah.

"Apa-apa pun kita kena ingat, semuanya adalah hak Allah. Semuanya akan kembali pada Allah. Baru hidup akan tenang."

Masya Allah.. terasa meresap masuk dalam jiwa. Betul-betul bertepatan dengan keadaan dan masalah saya. Itulah mak. Seorang graduan yang hebat keluaran universiti kehidupan.

Terasa hidup kembali normal. Hilang segala masalah ditiup angin yang berlalu.. Alhamdulillah :)

Ini lah anak mak. Bila susah, cari mak. Bila senang? wallahualam..huhu

" Ya Allah, Kau peliharalah kedua ibu bapaku sepanjang hayat mereka.. Kerana aku tidak mampu untuk membalas jasa mereka hatta setitik susu atau peluh yang pernah ditumpahkan dahulu.."

Sayang Mak selama-lamanya.. ^__^

Abah pun sekali.. ^__^

Tuesday, 29 November 2011

Pemikir dan Pelaksana~


Bismillah walhamdulillah.


A : "Kamu, B, sila pergi ke kedai buah. Beli seikat pisang."

B : "Baiklah. Saya pergi sekarang."

Si A, memberi arahan kepada B untuk melaksanakan satu tugasan. Maka si B terus menerima dan menjalankan tugasan dengan baik.

_______________________________


Situasi diatas berlaku di antara seorang pemberi arahan dan pelaksana arahan. Pemberi arahan tidak akan mengeluarkan arahan sebelum adanya buah fikiran untuk mengeluarkan arahan tersebut. Ringkasnya, Si A adalah seorang pemikir kepada sesuatu masalah dan bertindak memberi arahan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Si B hanya melaksanakan arahan.

Persoalan.

Tanpa kita sedari, manusia telah diciptakan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai karakter. Dalam hal ini, terdapat dua jenis karakter manusia yang berbeza digambarkan melalui situasi di atas.

Seorang berkarakter sebagai seorang pemikir. Seorang berkarakter sebagai seorang pelaksana.

Realiti.

Lazimnya kita akan temui dua jenis karakter ini dalam sebuah persatuan, gerakan dan sebagainya. Kedua-dua karakter ini diibaratkan seperti simbiosis iaitu mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Seorang pemikir tidak mampu untuk melaksanakan sesuatu tanpa adanya pelaksana dan begitulah sebaliknya.

Kerap kali berlaku perbalahan yang timbul daripada golongan pemikir yang mendakwa bahawa golongan pelaksana adalah golongan yang 'malas berfikir'. Benarkah?

Jika benar, apakah tidak perlu adanya golongan pelaksana dalam sesuatu pertubuhan?

Bolehkah dibanggakan dengan ramainya golongan yang mampu berfikir hebat dalam sebuah gerakan tanpa adanya golongan pelaksana agenda yang difikirkan?

Inilah yang perlu diambil beratkan oleh empunya organisasi atau pemimpin teratas. Mereka perlu bijak mengatur dan meletakkan figura-figura yang bertepatan dengan kedudukan dan kemampuan masing-masing. Silap atur langkah, padah menanti untuk jangka masa panjang.

Anda dimana?

Jika anda dianugerahi dengan kemahiran berfikir yang kritis dan kreatif, teruskan usaha anda agar buah fikiran anda memberi manfaat untuk masyarakat dan umat. Dalam masa yang sama anda perlu belajar untuk menjadi pelaksana yang baik kerana kerapkali golongan pemikir dilanda masalah ego yang tinggi lantaran mereka sentiasa diberikan penghormatan yang tinggi dalam sesebuah organisasi.

Jika anda seorang yang berkecenderungan tinggi sebagai seorang pelaksana, teruskan usaha anda tanpa merasakan keraguan dan rendah diri dalam melaksanakan setiap arahan yang diberikan. Namun, anda harus sentiasa menggilap dan melatih akal fikiran untuk sentiasa berfikiran kreatif agar faedahnya boleh menyumbang ke arah kemajuan umat.


Sebenarnya hubungan karakter pemikir dan pelaksana mempunyai nilai yang begitu berharga jika digabungkan dalam keadaan yang betul bahkan boleh menjana sinergi yang hebat. Tiada pihak yang lebih dan kurang malahan kedua-dua golongan ini sememangnya saling memerlukan di antara satu sama lain.


Perlu diingatkan, kita manusia dianugerahkan dengan kelebihan dan keistimewaan sendiri. Oleh itu, setiap kelebihan yang ada mestilah digunakan dan dilorongkan ke arah jalan yang sepatutnya dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.


Sebagai manusia yang banyak dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah, kita semestinya pandai menyesuaikan diri mengikut keadaan. Adakalanya kita perlu untuk menjadi seorang pemikir yang baik dan adakalanya kita perlu untuk menjadi seorang pelaksana yang baik.


Siapa pun kita, itu tidak penting. Sama ada kita mampu untuk menjadi pemikir mahupun pelaksana yang baik, itu bukanlah titik ukurannya. Dalam melaksanakan sesuatu amalan, Allah memandang pada ikhlasnya niat amalan tersebut.

Pemikir dan pelaksana.

Tiada beza.

Bahkan saling memerlukan antara satu sama lain.

Wallahualam.