Bismillah walhamdulillah.
A : "Kamu, B, sila pergi ke kedai buah. Beli seikat pisang."
B : "Baiklah. Saya pergi sekarang."
Si A, memberi arahan kepada B untuk melaksanakan satu tugasan. Maka si B terus menerima dan menjalankan tugasan dengan baik.
_______________________________
Situasi diatas berlaku di antara seorang pemberi arahan dan pelaksana arahan. Pemberi arahan tidak akan mengeluarkan arahan sebelum adanya buah fikiran untuk mengeluarkan arahan tersebut. Ringkasnya, Si A adalah seorang pemikir kepada sesuatu masalah dan bertindak memberi arahan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Si B hanya melaksanakan arahan.
Persoalan.
Tanpa kita sedari, manusia telah diciptakan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai karakter. Dalam hal ini, terdapat dua jenis karakter manusia yang berbeza digambarkan melalui situasi di atas.
Seorang berkarakter sebagai seorang pemikir. Seorang berkarakter sebagai seorang pelaksana.
Realiti.
Lazimnya kita akan temui dua jenis karakter ini dalam sebuah persatuan, gerakan dan sebagainya. Kedua-dua karakter ini diibaratkan seperti simbiosis iaitu mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Seorang pemikir tidak mampu untuk melaksanakan sesuatu tanpa adanya pelaksana dan begitulah sebaliknya.
Kerap kali berlaku perbalahan yang timbul daripada golongan pemikir yang mendakwa bahawa golongan pelaksana adalah golongan yang 'malas berfikir'. Benarkah?
Jika benar, apakah tidak perlu adanya golongan pelaksana dalam sesuatu pertubuhan?
Bolehkah dibanggakan dengan ramainya golongan yang mampu berfikir hebat dalam sebuah gerakan tanpa adanya golongan pelaksana agenda yang difikirkan?
Inilah yang perlu diambil beratkan oleh empunya organisasi atau pemimpin teratas. Mereka perlu bijak mengatur dan meletakkan figura-figura yang bertepatan dengan kedudukan dan kemampuan masing-masing. Silap atur langkah, padah menanti untuk jangka masa panjang.
Anda dimana?
Jika anda dianugerahi dengan kemahiran berfikir yang kritis dan kreatif, teruskan usaha anda agar buah fikiran anda memberi manfaat untuk masyarakat dan umat. Dalam masa yang sama anda perlu belajar untuk menjadi pelaksana yang baik kerana kerapkali golongan pemikir dilanda masalah ego yang tinggi lantaran mereka sentiasa diberikan penghormatan yang tinggi dalam sesebuah organisasi.
Jika anda seorang yang berkecenderungan tinggi sebagai seorang pelaksana, teruskan usaha anda tanpa merasakan keraguan dan rendah diri dalam melaksanakan setiap arahan yang diberikan. Namun, anda harus sentiasa menggilap dan melatih akal fikiran untuk sentiasa berfikiran kreatif agar faedahnya boleh menyumbang ke arah kemajuan umat.
Sebenarnya hubungan karakter pemikir dan pelaksana mempunyai nilai yang begitu berharga jika digabungkan dalam keadaan yang betul bahkan boleh menjana sinergi yang hebat. Tiada pihak yang lebih dan kurang malahan kedua-dua golongan ini sememangnya saling memerlukan di antara satu sama lain.
Perlu diingatkan, kita manusia dianugerahkan dengan kelebihan dan keistimewaan sendiri. Oleh itu, setiap kelebihan yang ada mestilah digunakan dan dilorongkan ke arah jalan yang sepatutnya dan tidak boleh disia-siakan begitu sahaja.
Sebagai manusia yang banyak dipertanggungjawabkan dengan pelbagai amanah, kita semestinya pandai menyesuaikan diri mengikut keadaan. Adakalanya kita perlu untuk menjadi seorang pemikir yang baik dan adakalanya kita perlu untuk menjadi seorang pelaksana yang baik.
Siapa pun kita, itu tidak penting. Sama ada kita mampu untuk menjadi pemikir mahupun pelaksana yang baik, itu bukanlah titik ukurannya. Dalam melaksanakan sesuatu amalan, Allah memandang pada ikhlasnya niat amalan tersebut.
Pemikir dan pelaksana.
Tiada beza.
Bahkan saling memerlukan antara satu sama lain.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment