Bismillah Walhamdulillah
Semalam, saya ikut abah ke Bandar Temerloh untuk perbaharui cukai kereta. Selepas selesai, saya minta abah singgah sebentar di kedai buku Al Hidayah. Terlalu banyak buku yang menarik. Tidak kira yang lama atau baru.. terasa ingin beli semua. Tapi apakan daya..^__-
Sebelum membayar buku-buku yang saya ambil, mata saya terpaku pada sebuah buku ini. Tajuknya menarik. "Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul" karya Fatimah Syarha Mohd Noordin. Buku tersebut berbalut kemas dengan plastik. Jadinya, hanya kulit depan dan belakang sahaja yang boleh saya belek sebelum beli. Entah mengapa, saya tidak berfikir panjang untuk membelinya..
Buku ini sangat baik untuk dibaca semua peringkat. Remaja, bakal pengantin, pengantin baru, para suami dan isteri serta ibu bapa sekalipun.. Gaya bahasa yang mudah difahami ditambah pula dengan halusnya nasihat amat-amat menyedarkan diri yang alpa dan leka ini.. Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah kerana sentiasa memberi peringatan kepada manusia yang mudah lupa ini.
Buku ini hanya mempunyai 88 muka surat. Namun, isinya cukup padat dengan nasihat yang berguna dan releven untuk diamalkan.
Penulis menceritakan mengenai pengalaman hidup seorang gadis bernama Qani'ah bertemu jodoh dengan pasangannya Dr Muslih.
Sebagai seorang gadis, sejujurnya saya amat kagum dengan ketegasan Qani'ah dalam bab agama. Lemah lembut sikapnya tidak menghalang ketegasan prinsip dalam hatinya.. Subhanallah.. Qani'ah bertegas bahawa cintanya hanya untuk suaminya. Tidak sesekali Qaniah menyerahkan cintanya kepada seorang lelaki sebelum bergelar isteri.
Qani'ah juga ada mengkhabarkan 9 kesan cinta sebelum kahwin. Antaranya ialah :
1- Pasti kelak diriku ibarat lembu yang ditarik hidung oleh nafsu.
2- Menyibukkan hati merindui makhluk yang tidak halal bagiku seumpama membuka pintu bagi syaitan menjalankan jarumnya untuk melupakanku daripadaNya.
3- Hati akan terseksa dengan barah rindu.
4- Rindu palsu akan membelenggu minda hingga ia terjajah dan terhina di bawah jajahan syaitan.
5- Cinta lalai akan menyebabkanku alpa daripada mempersiapkan diri untuk keperluan dunia dan akhirat.
6- Aku boleh menjadi tak rasional berfikir jika benar-benar mabuk cinta.
7- Fitnah cinta ibarat racun yang akan membunuh akal, jiwa dan perasaan.
8- Jiwaku terganggu dalam menilai mana yang baik, mana yang buruk untuk diriku.
9- Jika aku dan dia berjaya melangkah ke alam rumah tangga nescaya ia terbina atas dasar maksiat, yang mengundang kepada peribadi zuriat kami pastinya.
Allahu Allah.. cukup jelas perkongsian dan nasihat Qani'ah.
Antara lain nasihat yang dikongsi Qani'ah untuk remaja dalam buku ini ialah :
1- Tegas dengan prinsip diri
2- Meletakkan misi yang jelas dalam hidup
3- Bersahabat dengan rakan-rakan sejantina yang soleh
4- Mengekang hawa nafsu
5- Mendekati majlis ilmu
6- Menyibukkan diri dengan hobi dan minat berfaedah
7- Akrab dengan Allah dalam ibadah dan kehidupan
Dalam Bab 2, Qani'ah menceritakan kisahnya bertemu dengan Dr Muslih. Qani'ah sangat kagum dengan cara Dr Muslih yang amat menitik beratkan soal agama dalam kehidupan. Qani'ah benar-benar jatuh cinta dengan peribadi Dr Muslih yang pandai menghormati orang tuanya. Pastinya istikharah mendahului dalam setiap keputusan Qani'ah. Berbekalkan beberapa petunjuk dan tenangnya hati, Qani'ah menerima lamaran Dr Muslih walaupun tidak mengenali rupa paras terdahulu.. Subhanallah.
Itulah serba ringkas cerita dalam bab-bab awal mengenai Qani'ah dalam buku ini. Walaupun karakter diri Qani'ah seakan-akan tidak wujud kerana terlalu sempurna di mata manusia seperti kita, namun tidak salah untuk kita mencontohi akhlak mulianya dalam kehidupan. Kita sebagai manusia biasa yang dicipta dengan pelbagai kelemahan, hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Sungguhpun kita pernah jatuh di lembah hina, Allah tidak sesekali pernah berpaling dari kita. Allah sentiasa membuka pintu taubat pada hambaNya yang ingin kembali ke jalan yang benar..
Sesungguhnya Allah tidak zalim, melainkan kitalah yang menzalimi diri sendiri.. Astaghfirullahal 'azim.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment