Our Marriage

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, 17 July 2008

Feldaku Juara (Part 1)





Salam


Apakah yang terlintas difikiran anda tentang 'Felda'? Apa itu Felda? Di mana? Bagaimana rupa bentuk Felda? Disini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang Felda yang merupakan tempat lahir saya. Felda yang menjadi tempat tinggal saya sekeluarga ialah Felda Bukit Mendi,Triang,Pahang. Kenapa Mendi? Bukit tu mandi ke? Wallahua'lam..saya pun tak tahu =).Pada permulaannya program Felda adalah bertujuan mengurangkan kemiskinan penduduk luar bandar ke kawasan-kawasan yang baru dibangun untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka. Hasilnya, di Felda terdapat peneroka-peneroka yang berasal dari pelbagai negeri. Antara yang ramai berhijrah ke Felda adalah penduduk dari Kedah dan Kelantan.

Sepanjang 17 tahun hidup di Felda ( 3 tahun di Jitra ) banyak perubahan yang dapat diperhatikan. Terutamanya dalam masalah sosial. Disini saya ingin memfokuskan pada masalah sosial yang kian meruncing di Felda saya. Bukan berniat untuk membuka pekung didada, tetapi sekadar ingin berkongsi dan membuka minda kita supaya lebih cakna akan perihal masyarakat kita pada hari ini. Sebagai Muslim yang telah melafazkan dua kalimah syahadah, kita tidak dapat lari daripada tuntutan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Walau siapa jua kita, tuntutan menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran adalah terpundak di bahu kita.



Berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

Dan hendaklah ada di kalangan kamu sebahagian yang menyeru ke arah kebaikan dan mengarah yang makruf serta mencegah yang mungkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan



Dadah

Felda memang terkenal dengan tingginya rating penagih dadah.Pernah tonton 999? Mengapa ini terjadi? Pada pengamatan saya yang masih lemah ini,antara sebab anak-anak Felda mudah terjebak dengan dadah adalah kerana terlalu banyak masa yang terbuang tanpa diisi dengan aktiviti berfaedah. Mereka lebih gemar melepak dijalanan, menghabiskan masa di kedai-kedai kopi. Mereka tiada inisiatif untuk memajukan diri. Hanya tunggu untuk disuap dalam semua perkara. Inilah sikap yang menyebabkan mereka mudah terjebak dengan dadah. Ditambah pula dengan pengaruh kawan-kawan yang rosak, pembekal dadah ( selalunya orang Cina) yang beroperasi dengan aktif, dadah semakin mudah diperolehi. Mereka juga menjadikan ladang kelapa sawit sebagai 'port' paling sesuai memandangkan ladang tersebut jarang dikunjungi orang. Apalah nasib bangsaku ini..Islam yang hanya pada nama.Sangat menyedihkan.

Buktinya,saya masih ingat satu peristiwa ini yang membabitkan 'taik pit' ini. Pada suatu petang, semasa ayah saya sedang bertukang rumah di bahagian belakang, adalah seorang hamba Allah ini bawa motor dalam keadaan tak berapa betul. Terhoyong-hayang kiri kanan. Tiba-tiba sampai satu selekoh, dia patutnya membelok ke kanan. Tetapi dia terus ke kawasan lapang di depan dan melanggar pondok orang jual kueh..( runtuh pondok kueh pak pin..ish2..). Ayah saya yang memerhatikan kejadian itu, ingatkan dia pengsan. Maka pergilah menjenguk apa yang terjadi. Rupanya dia tu sedang 'lalok'..MasyaAllah..Ayah saya pun tinggalkan begitu saja. Buat apa nak tolong. Silap-silap haribulan,kita yang di'kena'kan disebabkan ke'lalok'an dia.



Rempit

Masalah rempit juga semakin membimbangkan. Hobi saya petang-petang ialah memandu..=) Nak memantapkan pemanduan walaupun masih tak berkesempatan nak ambil lesen.Sambil-sambil tu ambil angin dan membawa adik bersama. Saya selalu memandu mengikut jalan yang menjadi 'medan rempit' golongan anak muda. Mengapa saya katakan mereka anak muda? Bukan kerana saya sudah tua..=) Tetapi umur mereka memang masih dan terlalu muda. Sesetengahnya amat saya kenali kerana pernah pergi mengaji Quran sekali. Mereka baru berumur 13 tahun! Sudahlah merempit, bawak adik sekali.. Ya rabbana, sudah tiada kerja lain selain merempit. Ibu bapa pula seolah-olah memejamkan mata. Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua. Dan sebelum saya berangkat ke Mesir, ada kemalangan melibatkan anak-anak muda ini. Sungguh tragis. Dua beradik meninggal setelah merempit bersama dalam perjalanan ke rumah setelah selesai persekolahan..Dengan berpakaian seragam sekolah, menemui ajalnya..Ya Allah, apa nasib mereka. Seorang tercampak ke pokok kelapa sawit. Tidak dapat saya bayangkan kejadian sebenar.Sungguh mengerikan.


Anak Luar Nikah @ Zina

Sememangnya zina semakin berleluasa pada zaman ini. Ianya berpunca daripada amalan pergaulan bebas tanpa batasan.Bukan sahaja berlaku dibandar-bandar besar, malahan di kawasan Felda sendiri. Sehinggakan bilangan anak luar nikah semakin meningkat. Sungguh membimbangkan. Moga Allah beri peluang ntuk bertaubat dan berubah kepada kita semua. Ada anak muda yang kerja di bandar ( Kuala Lumpur terutamanya), bila pulang, pulang sekali dengan anak angkat..Wallahua'lam. Diketahui bahawa anak itu adalah anak luar nikah setelah berlakunya beberapa peristiwa yang membuktikan kesahihan perkara tersebut. Bukanlah ingin menghukum tanpa ada bukti,namun kemusykilan tidak dapat dielakkan. Mudah-mudahan menjadi pengajaran buat kita semua. Ada juga kemungkinan berleluasanya zina adalah disebabkan masyarakat disini tidak membenarkan anak-anak mereka kahwin muda. Atas alasan tiada persediaan dari segi material dan sebagainya..Itulah sedikit sebanyak pengamatan saya mengenai masyarakat sekeliling di tempat tinggal saya. Anak-anak muda Felda mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang tidak baik. Sehinggakan cara hidup mereka berubah. Cara bercakap, cara berpakaian sehinggalah pergaulan mereka amat-amat menyedihkan. Dimanakah silapnya?

Saya juga ingin berkongsi satu kisah di mana saya sendiri berhadapan dengan anak luar nikah ini. Sesungguhnya anak ini tidak bersalah. Cuma saya yang masih tidak dapat menerima kehadiran anak ini lantaran kesilapan ibu bapanya. Sedang saya berjalan mengambil angin bersama adik bongsu saya yang berusia 2 tahun, anak tersebut yang berusia setahun cuba bermain dengan adik saya. Saya menarik adik saya kerana saya terlalu mengikut perasaan pada waktu itu. Setelah berfikir sejenak, saya melepaskan adik saya. Bermain bersama anak itu. Anak itu tidak bersalah! Maafkan saya yang tidak dapat mengawal diri daripada bersikap sedemikian. Betapa hiba dan sedih dengan masalah masyarakat dan mengenangkan diri ini yang tidak dapat menyumbangkan apatah lagi membetulkan masyarakat dengan sedikitnya ilmu didada..Astaghfirullah..=(

Banyak lagi masalah dalam masyarakat kita pada hari ini. Namun saya mengambil keputusan untuk memasukkan dalam bahagian kedua..InsyaAllah. Berdasarkan masalah yang saya utarakan, wahai sahabat-sahabat kalian, adakah kita masih mahu berdiam diri? Adakah kita ingin hidup, beramal soleh sendirian? Lantaklah mereka..kubur kita lain-lain. Buat hal masing-masing sudahlah.Baguslah kalian jika memikirkan sedemikian. Amat bagus. Tetapi awas. Dimanakah peranan kita sebagai muslim? Apakah dengan melihat kemungkaran, kita hanya berdiam diri? Ingatlah, azab diturunkan oleh Allah kepada orang alim yang beribadat berseorangan dahulu kerana mementingkan diri dan mengabaikan usaha dakwah dalam masyarakat. Moga-moga kita dijauhkan Allah daripada menjadi seperti golongan sedemikian.

Kepada sahabat-sahabat saya yang berasal dari Felda, pulanglah ke Felda kita dengan memberikan sumbangan. Berilah sumbangan dari segi teguran dan sebagainya walaupun sedikit. Ambillah perhatian terhadap masalah masyarakat kita.Sekiranya hari ini, keluarga kita tidak mengalami musibah dan masalah-masalah sosial tersebut, siapa tahu pada masa akan datang nasib keturunan kita? Apa gunaya kalian menuntut ilmu 'tinggi-tinggi' dan 'jauh-jauh' tanpa memberikan sumbangan kepada masyarakat. Saya percaya, masyarakat amat dahagakan petunjuk dalam kehidupan dan bersedia menerima. Namun, masalah sekarang ialah tiadanya golongan-golongan yang sanggup untuk turun membantu mereka dalam masalah ini. Cukuplah sekadar ini dahulu. Nantikan Feldaku Juara Part 2. InsyaAllah.

No comments: